Saturday, 3 June 2017

CEPREN (CONTENG)

Peperiksaan semester akhir telah berakhir. Aku keluar daripada dewan dengan perasan yang lapang dan gembira. Tidak perlu lagi aku bertungkus lumus siang dan malam mengadap sebarang nota dan buku-buku rujukan. Yang aku fikir selepas ini adalah ingin merantau ke negeri orang.
“Man, kau lepas ni nak buat apa?” Faizul tiba-tiba bertanya.
“Hmm… Lepas ni aku mahu merantau ke negeri orang. Mahu melihat budaya yang berbeza-beza.” Aku menjawab pertanyaan Faizul.
“ Bukan ke ayah kau ada perniagaan sendiri? Daripada kau merantau tidak ada hala tuju baik kau tolong ayah kau besarkan warisan perniagaan keluarga kau itu. Sekurang-kurangnya kau boleh belajar selok belok perniagaan. Lagipun, perniagaan batik ayah kau tu, kau juga yang akan ambil alihnya nanti.” Panjang lebar Faizul menjawab.
“Malaslah. Aku tak berminatlah dengan perniagaan batik ayah aku itu. Tak kena dengan jiwa aku. Kau pun tahukan aku ingin menjadi seorang pegawai diplomatik. Itu cita-cita aku. Apa gunanya aku ambil bidang polisi kalau aku tidak mahu jadi sebahagian daripada bidang ini.” Aku menjawab dengan tegas. Aku sudah bulat hati untuk tidak menyambung legasi perniagaan ayahku. Ayah aku sudah acap kali membicarakan hal ini dengan aku. Tapi aku memprotes dengan tegas dan mengatakan aku tidak berminat dengan pekerjaan itu. Kadang-kala aku tidak sampai hati melihat raut kecewa yang terpampang di wajah ayah apabila keinginannya ditolak. Namun, kerana keinginan aku untuk memenuhi hasrat di bidang lain membuatkan aku nekad dengan keputusanku.
“Kalau kau tidak mahu menyambung legasi ayah kau, siapa yang akan ambil alih perniagaan itu nanti. Man, ayah kau tu sudah tua.. dia pun mahu berehat daripada kerjaya dia itu. Sekarang ini yang ayah kau lihat hanya engkau sahaja yang layak untuk menggalas tanggungjawab dia dalam perniagaan kerana kau itu anak tunggal. Takkan kau mahu hampakan harapan dia. Tapi tidak apalah, kau pun sudah membuat keputusan. Tapi aku harap kau fikir baik-baik apa yang aku cakapkan ini.” Faizul menambah sambil memberikan aku nasihat.
“Nantilah aku fikirkan semula. Eh, Aku balik dululah Zul. Ayah aku nak jumpa aku lepas habis peperiksaan. Adalah tu perkara yang hendak dibincangkan,” aku meminta diri untuk pulang ke rumah.

Sampai di rumah, aku melihat ayah aku sudah berada diruang tamu. Serius betul aku lihat mimik wajahnya. Seperti hal sangat mustahak yang ingin dibincangkan denganku.
“ Eh, Ayah, awal pulang hari ini? Apa perkara penting yang ayah ingin bincangkan itu?’’ aku bertanya kepada ayahku.
“ Ayah kurang sihat hari ini. Lagipun, ayah dah bagi tahu kamu ada perkara penting yang ingin ayah bincangkan dengan kamu. Tapi rasanya kamu dah boleh agak apa yang ingin ayah bincangkan dengan kamu ini,” ayah menjawab pertanyaanku dan menanyakan soalan kepadaku semula. Aku menundukkan muka memandang lantai. Tidak menjawab pertanyaan ayahku. “Memandangkan kamu dah habis belajar, ayah nak kamu ambil alih perniagaan batik kita tu. Hanya kamu satu-satunya pewaris ayah dalam keluarga ni. Ayah berharap kali ini kamu tidak menghampakan ayah. Ayah ini dah tua Man, ayah dah tak terdaya nak teruskan legasi ini.” Ayah memujuk aku dengan suara yang sayu.
“Ayah, berapa kali saya nak beritahu, yang saya tidak berminat dengan perniagaan tu. Ayah boleh je tawarkan jawatan tu kepada pengarah yang ada sekarang ini. Lagipun, saya bukannya tahu selok-belok perniagaan itu,” aku masih lagi bertegas untuk tidak menerima tawaran.
“ Memanglah pekerja atasan dah ada sekarang ni. Tapi itu tidak sama dengan keluarga sendiri Man. Kamu boleh belajar sedikit demi sedikit. Ayah bukan nak kamu ambil ahli perniagaan itu dengan ilmu yang kosong. Sekurang-kurangnya kamu belajar dahulu selok belok perniagaan tu.” Ayah menjelaskan perkara itu lagi. Nampaknya ayah tidak ingin beralah ingin aku mengambil alih syarikatnya.
“Nantilah saya fikirkan. Saya naik atas dulu,” tanpa bercakap panjang aku mendaki tangga untuk masuk ke bilik tanpa mahu mendengar percakapan selanjutnya daripada ayahku. Nampak macam kurang ajar tapi aku tidak suka dipaksa oleh sesuatu yang tidak aku suka. Sedang aku mendaki tangga untuk ke bilik, aku mendengar sesuatu terjatuh dengan kuatnya. Apabila aku berpaling, aku melihat ayahku sudah tidak sedarkan diri. Aku pun melaung memanggil ayahku sambil pantas aku turun dari tangga. “ ayah!.. Bangun ayah.. Maafkan Man ayah.. Man janji akan ikut segala cakap ayah.. jangan tinggalkan Man, ayah…” sambil menangis aku melaung memanggil orang  gajiku. “Mak kiah! cepat Mak Kiah. Ayah pengsan.. telefon ambulans..” dengan tergesa-gesa Mak kiah mengikut arahanku.
Ayah dimasukkan ke wad kecemasan. Aku semakin bimbang kerana sudah setengah jam aku menunggu ayah dan khabar berita tentang ayah masih tidak kedengaran. Akhirnya penantian aku berakhir. Doktor mengesahkan ayah terkena strok dan lumpuh seumur hidup. Aku sangat terkejut mendengar berita ini. Aku dibenarkan untuk melihat ayah. Aku melihat banyak wayar yang berselirat di tubuh ayah. Keadaan ayah kelihatan sangat uzur. Timbul penyesalan dalam hati kerana berasa aku penyebab ayah berada disini. Namun, aku segera beristighfar kerana ini merupakan qada’ dan qadar Allah. Aku tidak mahu kehilangan ayahku setelah aku kehilangan ibuku 5 tahun yang lalu. Aku berjanji akan mengikut segala kehendak ayah apabila ayah sedar nanti. Aku akan menggantikan ayah untuk menyambung legasi keluarga aku  iaitu Batik Inspirasi Holding Sdn.Bhd seperti yang ayah inginkan selama ini.

Hari kedua ayah telah dipindahkan ke wad biasa, ayah telah sedar. Namun, ayah tidak  dapat berjalan lagi. Doktor telah sahkan ayah lumpuh seumur hidup. Ayah pasrah dengan ketentuan yang Maha Esa telah tetapkan. Aku menjaga ayah sehingga ayah betul-betul sembuh.

Sebulan berlalu, aku memulakan perniagaan batik keluarga aku dengan penuh semangat. Segala ilmu yang aku belajar di universiti dalam bidang ekonomi dan polisi aku praktikkan dalam perniagaan ini. Aku membina satu polisi baru untuk syarikat ini supaya lebih berdaya saing dan maju kehadapan. Aku berazam untuk menjaga perniagaan ini dengan sebaik-baiknya. Segala impian aku untuk menjadi pegawai tadbir dan diplomatik, aku abaikan demi menjaga legasi yang telah dibangunkan oleh datuk aku. Dan kini aku penyambungnya. Banyak perkara yang aku perlu pelajari untuk mengetahui selok belok perniagaan ini. Encik Fuad merupakan orang kanan ayah, telah mengajar aku semua selok belok syarikat batik ini dari segi pemasaran, kewangan, pentadbiran dan juga membatik. Rupa-rupanya bukan mudah untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.
Petang itu aku turun ke kilang batik untuk melihat proses pembuatan batik. Walaupun abad berganti abad, kilang batik keluarga aku iaitu Batik Inspirasi Holding Sdn.Bhd masih menggunakan kaedah tradisional. Aku melihat ramai pekerja-pekerja di sini kreatif dalam mencanting batik dengan menggunakan kaedah tulis dan lakar. Aku difahamkan pembuatan batik canting akan siap sekitar 2 hingga 3 bulan. Namun, Ada juga menggunakan kaedah cap iaitu menerap kain dengan mengunakan blok tembaga, blok besi dan sebagainya. Aku semakin berminat untuk turut serta dalam menghasilkan sendiri batik tersebut. Aku sangat berpuas hati dengan cara  pekerja-pekerja bekerja disini. Tidak hairanlah ayah aku sering memuji pekerja-pekerjanya sangat dedikasi dan kreatif.

Setelah melawat kilang batik , aku pulang ke rumah. Aku berpuas hati dengan perniagaan syarikat batik keluarga aku. Aku melihat pengeksportan batik ke luar negara seperti Thailand, Indonesia dan beberapa buah Negara lain sangat memuaskan. Aku fikir pengeluaran dan reka cipta batik syarikatku mendapat tempat di hati pelanggan. Aku bercerita tentang pembelajaran yang aku perolehi di pejabat kepada ayahku. Ayah berpuas hati dengan semangat dan kesudian aku untuk memimpin syarikat keluarga kami.
“Apa pendapat Man tentang kewangan syarikat kita? Pengeluaran perbelanjaan tidak keterlaluankan?” ayah bertanyakan pendapat.
“Bagi Man sekarang ini kewangan kita terkawal. Nampaknya pekerja ayah semuanya cekap bekerja. Lebih-lebih lagi bahagian audit,” sambil ketawa aku memberikan pendapat dan memuji pekerja ayahku.
“Hasnol tu memang pekerja yang cekap. Dialah antara pekerja yang paling lama yang berkhidmat dalam syarikat kita. Idea dia semuanya bernas-bernas. Sayang kalau kita kehilangan pekerja macam dia. Ayah pun sudah anggap dia seperti adik ayah sendiri. Tapi sekarang ini syarikat kita kekurangan kakitangan dalam bahagian kewangan. Rasanya esok akan  datang seorang pekerja baru di bahagian kewangan.” Panjang lebar ayah bercerita tentang pekerja di syarikat itu.
“Man pun suka cara pak cik Hasnol bekerja. Esok Man akan tengok-tengokkan pekerja baru tu. Man masuk bilik dululah. Badan pun dah melekit ni,” sambil membalas aku meminta diri untuk ke bilik.

Pagi itu, aku sampai ke pejabat lebih awal. Aku menunggu kakitangan baru melapor diri. Sebelum itu, aku ke pantri untuk mengalas perut kerana sebelum ke pejabat aku tidak menjamah apa-apa sarapan. Pada jam 8 pagi setiausaha aku sampai. Aku menekan interkom untuk memberi arahan kepada setiausahaku.
“Lina, nanti ada pekerja baru akan datang untuk melapor diri di bahagian kewangan. Tapi sebelum itu, saya mahu berjumpa dengan dia. Suruh dia masuk bilik saya nanti.” Aku memberi arahan kepada setiausahaku.
“Baik bos, nanti saya sampaikan.” Lina mengikuti arahanku.
Sedang aku menyemak resume kakitangan baru itu, tiba-tiba butang  interkom menyala. Aku menekan interkom tersebut dan Lina memberitahu bahawa pekerja itu telah berada diluar. Aku memberikan arahan supaya pekerja itu masuk.
“Duduk.” Aku memberikan arahan supaya pekerja baru itu duduk. “Tengku Kamil bin Tengku Carliff?” aku melihat dia menganggukkan kepala apabila aku menyebut namanya. “Kamu saya lihat banyak pengalaman bekerja dalam bahagian kewangan sebagai akauntan dan saya lihat syarikat-syarikat yang kamu pernah bekerja juga dari syarikat-syarikat yang sangat gah di Malaysia. Saya nak tahu kenapa awak memilih syarikat ini untuk berkhidmat?” aku bertanyakan soalan kepada Kamil.
“Saya ingin mencari pengalaman di tempat baru dan saya rasa syarikat ini berpotensi untuk dikenali di mata dunia. Jadi saya ingin berdiri sebahagian daripada syarikat ini.” Jawab Kamil dengan yakin. Aku mengangguk tanda berpuas hati dengan jawapannya. “Ok, rasanya tidak ada apa lagi yang saya ingin tanya. Awak boleh masuk kerja. Setiausaha saya akan bawa awak ke bahagian audit. Awak boleh pergi.” Aku menyudahkan perjumpaan singkat ini.

Tengah hari itu aku pergi ke kilang untuk belajar cara-cara membuat batik. Aku ingin belajar membuat batik kerana aku amat tertarik dengan penghasilan batik oleh pekerja-pekerja di kilang itu. Aku memulakannya dengan menggunakan kaedah mencanting. Aku dapat mencanting dengan baik kerana sejak kecil aku memiliki bakat dalam seni lukisan. Namun, mencanting ini bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan kerana ia adalah seni yang halus dan memerlukan kesenian dan inspirasi yang tinggi untuk menghasilkan batik yang bermutu dan berkualiti tinggi. Aku semakin tertarik untuk menghasilkan batik yang cantik. Aku mereka pelbagai corak baru dalam batik canting untuk dipasarkan ke negara-negara lain.

Semakin hari, perniagaan batik aku semakin berkembang. Ini kerana pelbagai jenis corak baru telah direka bagi memastikan batik syarikat ini sentiasa dapat bersaing setanding negara jiran seperti Indonesia. Selain itu, untuk memberi kelainan dan mendapat tempat di hati pelanggan untuk sentiasa memilih batik daripada syarikat aku. Sedang aku menyemak laporan masuk kewangan, kedengaran pintu bilik diketuk dari luar.
 “Masuk.” Aku menyahut membenarkan masuk. Kelihatan Lina masuk sambil menutup pintu. “Ada apa Lina?” aku bertanya.
“Bos, saya ada berita gembira nak beritahu. Syarikat kita terpilih untuk pertandingan peragaan batik di peringkat antarabangsa. Saya dimaklumkan syarikat kita antara syarikat yang terbaik memiliki batik yang berkualiti tinggi di Asia Tenggara. Saya difahamkan juga syarikat batik di Malaysia yang terpilih hanya tiga buah syarikat sahaja bos dan syarikat kita adalah salah satu daripadanya.” Lina menjawab soalan dan memberi penjelasan tentang perkara yang ingin diberitahu.
“Alhamdulillah, ini berita gembira yang saya nak dengar. Bila peragaan batik ini diadakan dan dimana tempatnya?” aku menzahirkan perasaan gembiraku dan menanyakan maklumat pertandingan itu dengan lebih terperinci. Ini adalah satu berita gembira kerana dengan cara ini kami dapat mempromosikannya dengan lebih meluas dan memasuki pasaran yang lebih besar. Tidak sabar aku ingin khabarkan berita gembira ini kepada ayahku.
 “Pertandingan ini akan diadakan dua bulan dari sekarang dan bertempat di Hotel Shangri-La, bos.” Jawab Lina mematikan lamunanku.
 “Ok, mulai dari sekarang kita harus sama-sama berganding bahu untuk memberikan yang terbaik dalam pertandingan itu nanti.” Aku memberikan arahan.
“Baik bos, kalau tidak ada apa-apa saya keluar dulu.” Sambil mengangguk kepala Lina keluar dari bilik aku.

 Selama dua bulan ini, seluruh kakitangan berganding bahu membuat persediaan bagi pertandingan memperagakan batik. Aku sendiri yang mereka cipta corak baru untuk diperagakan semasa hari pertandingan nanti. Kami memperagakan satu set pakaian tradisional batik iaitu baju kurung untuk diperagakan di hari pertandingan. Hari berganti hari, hari pertandingan itu semakin dekat membuatkan perasaan aku semakin gementar. Ini adalah kali  pertama aku terlibat dalam satu majlis yang berprestij untuk masa depan Syarikat Batik Inspirasi Holding Sdn.Bhd. Pertandingan ini adalah untuk merebut kerjasama perniagaan dengan syarikat antarabangsa yang terletak di Eropah. Ini merupakan satu peluang keemasan untuk syarikat pasarkan batik kami di Eropah kerana syarikat aku belum lagi memasarkan produk batik ke benua Eropah. Syarikat aku akan bertanding dengan dua syarikat batik di Malaysia iaitu T&C Batik Holding Sdn.Bhd dan Batik Design & Future Holding Sdn.Bhd. Syarikat ini merupakan syarikat pengeluaran batik yang semakin mendapat tempat di persada antarabangsa. Selain itu, syarikat kami juga akan bersaing dengan syarikat-syarikat antarabangsa yang lain seperti Indonesia, Vietnam, Thailand dan lain-lain lagi.
Aku tiba di hotel Shangri-La tepat jam 6 petang. Ketika itu, dapat dilihat ramai orang sibuk menguruskan dewan besar itu. Dapat dilihat satu pentas panjang di mana para peragawan dan peragawati akan berjalan dan menunjukkan rekaan fesyen tradisional batik. Itulah bakal terjadi dalam beberapa jam lagi. Aku bersama-sama kakitangan  menguruskan persiapan akhir bagi acara malam ini. Disamping teruja dengan acara pada malam ini, aku juga gementar kerana acara ini adalah acara yang berprestij yang akan mengangkat nama syarikat ke mata dunia. Kerana inilah, aku inginkan semua persiapan berjalan dengan sempurna.

Tepat jam 9 malam, semua tetamu jemputan memenuhi dewan utama hotel Shangri-La. Kelihatan tetamu kehormat dari Eropah datang untuk menjadi juri dalam pertandingan ini. Aku berasa kagum walaupun fesyen-fesyen semakin berubah, namun pakaian warisan seperti batik masih dipakai oleh generasi sekarang. aku melihat Juri-juri semuanya memakai fabrik daripada batik. Tidak hairanlah batik semakin menembusi pasaran antarabangsa. “The event will start a little while longer. The judges also took their places. Now, I will introduce the judges who will judge the competition Batik demonstration.” Pengacara majlis memulakan mukadimahnya dengan memperkenalkan juri-juri pertandingan.
Satu demi satu peragawan dan peragawati memperagakan fabrik masing-masing dan aku sangat terkejut salah seorang peragawan dari syarikat T&C Batik Holding Sdn.Bhd memperagakan corak batik yang sangat mirip dengan corak batik yang telah aku reka. Keadaan menjadi kecoh apabila tetamu disitu menuduh syarikat aku meniru hasil kerja syarikat T&C Batik Holding. Aku tidak dapat menerima kenyataan apabila syarikat aku telah dituduh meniru hasil rekaan syarikat lain. Syarikat aku telah mendapat malu. Apabila keputusan diumumkan, syarikat T&C Batik Holding telah memenangi tempat pertama dan dapat bekerjasama dengan syarikat daripada Eropah. Aku meninggalkan acara itu dengan perasaan kecewa dan marah. Aku dapat rasakan, ada musuh dalam selimut dalam syarikat aku. Aku akan mencari sampai ke lubang cacing siapa yang telah membocorkan maklumat syarikat aku kepada syarikat itu.

Pagi itu aku tidak ada mood untuk bekerja, semua akhbar menyiarkan tentang “Syarikat Batik Inspirasi Holding meniru hasil rekaan Syarikat T&C Batik Holding”. Syarikat aku telah mendapat malu besar kerana ramai pengimport tidak mahu bekerjasama dengan syarikat aku lagi. Semua pengimport telah membeli bekalan batik dari Syarikat T&C Batik Holding. Aku perlu membersihkan nama syarikat aku dengan mencari dalang yang telah memburukkan nama syarikat aku. Pagi itu, aku membuat mesyuarat tergempak untuk mencari dalang dalam kes yang berlaku. Semua kakitangan dipanggil untuk membuat pengakuan daripada mereka.
“Saya pasti anda semua tahu tujuan saya memanggil kamu kesini.” Aku bersuara dengan tegas dan aku melihat semua kakitangan menundukkan kepala. “Apa yang terjadi semalam adalah serius, saya nak kamu semua mengaku siapa yang telah membocorkan rekaan batik kita kepada syarikat T&C Batik? Syarikat kita telah mendapat malu yang besar. Ramai pembekalan mengkritik syarikat kita dan saya nak awak semua mengaku sekarang!” Aku menengking kerana terlalu marah. Aku melihat semua yang ada tidak mahu mengaku. “Baiklah, kalau semua tidak mahu mengaku, siasatan akan dibuat dan ingat hukuman yang akan dikenakan adalah berat. Bila saya dapat tangkap siapa dalangnya, saya tidak akan teragak-agak untuk pecat awak semua. Awak semua boleh pergi.” Dengan muka tegang aku menangguhkan mesyuarat tersebut.
'Man, itu asam garam yang perlu kita tempuhi apabila kita bersedia untuk menceburi bidang perniagaan. Kamu kena bijak untuk tanganinya. Jangan cepat melatah. Apa pun kita kena siasat dahulu siapa musuh dalam syarikat kita itu. Kamu jangan buat keputusan terburu-buru. Bila kita sudah terlibat dalam dunia perniagaan, kita perlu hadapi apa jua risiko yang mendatang. Jadi ayah harap kamu bersabar. Setiap yang berlaku ada hikmahnya.' Aku teringat kata-kata ayah semalam apabila aku menceritakan apa yang berlaku. Aku menarik nafas perlahan-perlahan dan akur akan kata-kata ayah yang ada benarnya. Selepas ini aku perlu persiapkan diri dengan sebarang kemungkinan yang bakal timbul daripada kes semalam.

Hari berganti hari, syarikat aku mengalami kerugian yang banyak apabila produk kami tidak mendapat sambutan yang menggalakkan. Ramai pelanggan dan pembekal beralih arah ke Syarikat T&C Batik Holding. Aku merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan Syarikat itu kerana semua hasil rekaan kami hampir sama. Kerugian yang kami hadapi memberikan tekanan kepada aku dan juga syarikat. Malam itu, aku ke kilang. Aku mereka pelbagai corak batik yang baru tetapi semuanya tidak menjadi dan ini semakin memberikan tekanan kepada aku tentang masalah yang timbul. Aku mengambil kain putih dan menconteng sesuka hati kerana terlampau tertekan. setelah puas menconteng, aku meninggalkan kain itu dan terus meninggalkan kilang tersebut.

Hari ini, Syarikat Batik Inspirasi Holding di lawati oleh sebuah syarikat pembuatan batik dari Indonesia. Tujuan mereka datang adalah untuk mengeratkan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia dalam perusahaan Batik. Aku agak terkejut kerana syarikat akan semenjak dua menjak ini kurang dilawati oleh syarikat-syarikat besar tetapi hari ini kami amat bertuah kerana ada syarikat yang masih lagi ingin melabur dalam syarikat kami walaupun syarikat ini masih dilanda krisis kewangan. Mereka ingin melihat kilang memproses batik daripada syarikat kami.
Aku membawa mereka untuk melihat sendiri kakitangan aku membatik. Sedang kami membuat tinjauan, salah seorang daripada kakitangan syarikat dari Indonesia itu menunjukkan sesuatu dengan riak yang terkejut. Aku dan seluruh kakitangan melihat kearah yang ditunjukkan itu dan aku mendapati sehelai kain yang telah diconteng terletak di atas meja. Aku mengingati bahawa aku yang telah menconteng kain itu semalam. Semua pelawat dari Indonesia itu melihat dengan lebih dekat hasil contengan aku dan mengatakan corak itu sangat kreatif walaupun sekadar contengan.
          “Saya tidak pernah melihat corak batik yang macam ini sepanjang saya mencipta rekaan batik dan tidak pernah terfikir bahawa melalui contengan sahaja ia memberikan seni yang sangat luar biasa cantiknya.” Salah seorang daripada mereka mengeluarkan kenyataan yang positif. Aku tidak menyangka bahawa melalui contengan amarah aku semalam, boleh menghasilkan satu lakaran yang berkenan di hati syarikat itu.
 “ Siapakah yang menconteng lakaran ini?” Tanya lagi salah seorang daripada pelawat itu.
 “Saya sendiri yang menconteng kain ini semalam dan saya tidak tahu pula melalui contengan ini pihak anda berminat dengan corak ini.” Aku mengaku dengan memberikan penjelasan sambil tersenyum.
“Corak macam ini tidak ada lagi dipasarkan di pasaran antarabangsa. Saya kira jika anda pasarkan batik berdasarkan corak ini, saya jamin yang syarikat awak akan memperoleh keuntungan yang besar.” Mereka memberikan cadangan supaya aku memasarkan batik contengan ini.
“InsyaAllah, kami akan usahakan sebaiknya.” Aku menjawab dengan senyuman. Aku sangat gembira kerana lawatan daripada syarikat Indonesia itu memberikan semangat yang positif kepada kami walaupun kewangan kami masih tidak stabil. Aku tidak dapat menyangka dengan hasil contengan aku semalam dapat menarik minat syarikat antarabangsa untuk mengimport batik dari syarikat Batik Inspirasi Holding.

“Ayah tahu anak ayah Tengku Riz Arman bin Tengku Riezman ini seorang yang tidak mudah putus asa dalam hidupnya. Tengok sekarang ini, kamu sudah mendapat pujian daripada syarikat pengeluaran batik terkemuka di Indonesia. Melalui contengan kamu ini mereka berminat untuk mengimportnya dari syarikat kita. Ayah bangga dengan kamu.” Kata ayah sewaktu aku memberitahu kejadian di syarikat tadi kepadanya apabila sampai dirumah.
          “Man tak sangka yang mereka boleh berminat walaupun sekadar contengan. Syukur. Walaupun sekarang ini dalang yang menyebarkan hasil ciptaan syarikat kita kepada syarikat lain tidak dapat ditangkap lagi, sekurang-kurangnya kita dapat mengelakkan kerugian syarikat kita.” Aku berkata-kata sambil sesekali mata melirik kearah berita yang disiarkan di televisyen.
          “Dalang tu tidak akan dapat pergi mana-mana pun. Kita akan dapat juga tangkapnya nanti. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan jatuh ke tanah jua. Kamu tidak ada syak siapa-siapa ke dalam kes ini?” ayah aku bertanya dengan riak yang serius.
          “Man ada juga syak seorang ini, ayah. Dia kakitangan baru kita dalam bahagian audit. Bila selisih dengan Man dimana-mana, wajahnya nampak lain. Riak wajahnya nampak lain sangat. Takut-takut pun ada.” Aku memberitahu ayah tentang kemusykilan aku.
“Tapi kamu jangan buat keputusan terburu-buru. Selidik dahulu sebelum bertindak. Sudahlah, pergi naik mandi. Nanti kita solat berjemaah sama-sama.” Ayah memberi arahan kepada aku. Aku mengangguk dan bangun untuk masuk ke bilik.

Pagi itu seusai sampai pejabat aku memberitahu Lina untuk mengadakan mesyuarat bersama pengurus dan bahagian audit. Lina mematuhi arahanku. Pada pukul 9, semua sudah berkumpul di bilik mesyuarat sambil menunggu mesyuarat bermula. Aku mengambil tempat dan memulakan mesyuarat. “Baiklah, tujuan saya memanggil kamu semua kemari adalah untuk membincangkan dua agenda untuk syarikat kita. Pertama, seperti yang anda semua tahu, syarikat Batik dari Indonesia telah melakukan lawatan ke kilang batik kita semalam dan mereka berminat untuk bekerjasama dengan kita dalam pasaran batik. Mereka berminat dengan hasil rekaan corak baru batik kita. Mereka juga ada menyarankan syarikat kita mencuba nasib untuk pasarkan produk kita ke Eropah.” Aku memberikan penjelasan tentang agenda mesyuarat tersebut.
Aku melihat satu persatu wajah-wajah yang berada di bilik mesyuarat tersebut. Apabila tiba wajah itu, aku melihat dia seakan mengelak untuk bertentang mata denganku. ‘Kau akan tahu nasib kau nanti.’ Aku bermonolog dalam hati. “Ada sesiapa tidak jelas lagi akan apa yang saya perjelaskan tadi? Ada sesiapa ingin menambah apa-apa cadangan?” aku menyoal semua yang berada disitu dan melihat semua menggelengkan kepala.
“Baiklah, kalau semua tidak ada apa yang ingin perkatakan, kita ke perkara yang seterusnya. Memandangkan hari itu, syarikat kita terpalit dengan kontroversi yang anda semua tahu kita tidak lakukan. Hari ini saya hendak bongkarkan kebenarannya. “Lina, tolong pasangkan video tu.”
Sepanjang video itu dipasang aku melihat semua kakitangan yang ada dalam bilik ini terkejut. Aku sudah menjangkakan reaksi ini apabila video itu dipasang.  Setelah video itu selesai dipasang, aku terus menghalakan mukaku kearah manusia yang terpampan di dalam video itu. “Boleh awak jelaskan apa yang terjadi dalam video ini? Ini awakkan? Atau lebih tepat lagi Tengku Kamil bin Tengku Carliff, anak kepada pemilik syarikat T&C Batik Holding Sdn.Bhd?” aku bertanya kepada Kamil. Aku melihat semua orang terkejut apabila aku mendedahkan siapa Kamil yang sebenar. Dan aku lihat Kamil seakan terkaku tidak bergerak ditempatnya. Selama ini aku tidak dapat menangkap yang Kamil adalah anak kepada Tengku Carliff walaupun nama ayahnya Tengku Carliff. Aku mengetahuinya apabila seseorang telah menghantar video percakapan Kamil dan ayahnya untuk mengambil rekaan terbaru batik syarikat aku. Dan persoalan yang selama ini berlegar-legar di minda aku akhirnya terjawab.
“Ya, itu memang aku. Anak kepada pemilik syarikat T&C Batik Holding Sdn.Bhd. Aku masuk ke syarikat ini sebenarnya adalah untuk menjatuhkan syarikat ini. Aku melakukannya kerana dendam ayah aku terhadap ayah kau.” Kamil bersuara dengan nada yang sinis. Kini aku mengetahui perkara yang sebenarnya. Aku telah melaporkan kepada polis tentang kesalahan Kamil. Dan akhirnya dia telah dimasukkan ke dalam lokap. Aku sangat kesal kerana dendam bapanya terhadap bapa aku, tetapi anak yang menjadi mangsa.

Beberapa bulan kemudian, syarikat aku akhirnya mencatat keuntungan yang sangat besar. Seperti yang aku inginkan, pasaran batik syarikat aku telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih meluas. Kini, batik kami telah terjual di sekitar benua Eropah. Aku tidak menyangka hanya dengan menconteng, akhirnya corak itu menarik minat ramai pelanggan dari dalam dan luar negara. Dengan keuntungan yang berlipat ganda, aku telah membuka satu lagi cawangan batik di luar negara iaitu di Indonesia. Dengan pembukaan cawangan baru ini, syarikat kami akan dapat memperoleh keuntungan yang berganda. Disamping itu juga, aku ingin memartabatkan warisan tradisional ini agar tidak lapuk dek ditelan zaman.
Krisis bapa aku dan bapa Kamil juga telah selesai. Kerana salah faham, ayah Kamil berdendam dengan ayahku. Bila kebenaran terbongkar, hubungan mereka kembali terjalin erat. Aku juga telah menarik balik kes pecah amanah Kamil. Aku tahu yang Kamil sebenarnya tidak ingin melakukan perkara yang disuruh bapanya itu. Semua krisis telah pun berakhir. Kini aku menumpukan sepenuhnya kerjaya aku untuk memajukan syarikat keluargaku iaitu warisan turun temurun.